Selasa, 08 Februari 2011

Produk Halal

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”
(Surah Al-Baqarah, Ayat 168)
Pematuhan kepada undang-undang syariah dan keperluan kepada produk yang baik merupakan rangkuman konsep ‘Halal dan Toyyiban’. Beberapa ayat di dalam Al-Quran dan Hadis seperti diatas acap kali menekankan keperluan ini.
Permintaan terhadap produk Halal yang tinggi serta kesukaran menentukan asas produk, telah meningkatkan keprihatinan pengguna Islam terhadap kualiti dan kesahihan sesuatu produk itu.
Keprihatinan terhadap keselamatan, kualiti, komposisi serta pengesahan produk dan perkhidmatan yang digunakan semakin mendapat perhatian di kalangan pengguna Islam. Sehubungan dengan itu, penubuhan Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) pada 1 Jun 2006 telah menjadi salah satu langkah proaktif oleh Universiti Putra Malaysia dalam merealisasikan IPPH sebagai pusat rujukan, penyelidikan dan pembangunan yang terunggul dalam bidang yang berkaitan dengan produk halal.
Oleh itu, adalah menjadi satu tanggungjawab untuk mendidik pengguna berkaitan produk halal dan haram kerana terdapat banyak isu yang berkaitan dengan produk pengguna Islam. Isu halal dan haram penting sehingga pelbagai penyelidikan dan pencarian kaedah baru bagi menentukan kesahihan sesuatu produk telah dijalankan. Ini juga memberikan peluang kepada orang Islam untuk berkhidmat kepada Ummah. Ini merupakan salah satu sebab wujudnya Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Penyelidikan dan pembangunan produk halal bagi tujuan perkhimatan memerlukan jumlah saintis halal yang ramai. Oleh yang demikian, adalah penting bagi institusi-institusi penyelidikan seperti UPM menjalankan penyelidikan ke arah produk halal kerana melalui penyelidikan ini kita boleh memberi pendedahan kepada pengguna Islam disamping memberikan perkhidmatan yang baik. Kami berharap dengan wujudnya kemudahan seperti ini dapat memainkan peranan penting untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk dan perkhidmatan yang diberikan. Bagi para saintis Islam dan ulama, ini merupakan satu cara dimana kita boleh menyumbang dalam memastikan kesucian halal itu ditingkatkan. Bersesuaian dengan visi Institut Penyelidikan Produk Halal iaitu “Menjaga Kesucian Halal Melalui Penyelidikan dan Perkhidmatan”.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar